HTML

Thursday, March 15, 2018

APA YANG PERLU DILAKUKAN KETIKA ANAK ANDA DISERANG SAWAN?

gejala sawan
Sawan juga dikenali sebagai Epilepsi

Tengah hari itu, seperti biasa aku menjaga 20 orang kanak-kanak yang sedang bermain di Taska Harmoni ini. Tiba-tiba, seorang kanak-kanak menarik tangan ku dan dalam keadaan cemas dia berkata, "cikgu, Aiman jatuh, cepat cikgu." 

 Aku berlari mengikut Ain. Tiba di tempat kanak-kanak tersebut bermain, Aku terkejut melihat keadaan Aiman yang dalam kekejangan, pergerakan mata hitam ke atas, air liur meleleh, seluarnya basah menandakan dia telah terkencing. Tanpa membuang masa, Aku memanggil cikgu-cikgu lain untuk membantu. 

Mujur, pengetua segera datang. Beliau segera menyuruh kami menelefon hospital berhampiran & ibu bapa Aiman. Sementara itu, beliau mengarahkan beberapa orang cikgu untuk membawa kanak-kanak lain masuk ke dalam bagi mengelakkan mereka merasa takut. Pengetua dan seorang lagi cikgu cuba untuk mengalihkan kedudukan Aiman yang berhampiran dengan kerusi. 

Setelah itu, pengetua memusingkan kepala Aiman bagi mengelak supaya mana-mana cecair boleh keluar dari mulutnya. Seterusnya, membuka beberapa butang baju & tali pinggang Aiman untuk memudahkan dia bernafas. Beberapa minit berlalu, Aiman kelihatan telah beransur pulih & sedikit tenang. 


Apa itu Sawan? 


Gejala Sawan
Pastikan anda dalam keadaan bertenang ketika serangan sawan terjadi. 

Sawan atau epilepsi adalah penyakit akibat daripada ketidakseimbangan rangsangan isyarat elektrik di dalam otak disebabkan kecederaan semasa atau selepas kelahiran, tumor atau demam ketika kanak-kanak atau jangkitan.


Punca Sawan?
  •  Pengaruh genetik. Sesetengahnya ada sejarah keluarga, atau genetik. Penyelidik mengaitkan beberapa jenis sawan dengan gen tertentu.
  •  Trauma di kepala yang dialami semasa kemalangan atau kecederaan trauma lain.
  •  Gangguan perubatan. Penyakit seperti strok atau serangan jantung.
  •  Demensia adalah punca utama sawan di kalangan orang dewasa lebih tua.
  • Penyakit - meningitis, AIDS dan virus ensefalitis juga boleh menyebabkan sawan.
  •  Kecederaan pranatal. Sebelum lahir, bayi terdedah kepada kerosakan otak disebabkan jangkitan daripada ibu, pemakanan atau kekurangan oksigen. Kira-kira 20 peratus sawan kanak-kanak berkaitan dengan cerebral palsy atau masalah neurologi lain.
  •  Masalah pembangunan. Kadang-kala ia dikaitkan dengan gangguan perkembangan, seperti Autisme dan Sindrom Down.


Gejala-gejala


  • Tidak sedarkan diri
  • Menghentikan aktiviti yang dilakukan untuk beberapa saat dan merenung atau berkelip-kelip mata,
  • Bola mata yang berputar ke atas.
  • Bibir yang membiru dan memucat serta pelelehan air liur.
  • Sentakan kepala dan anggota badan yang ganas dan berulangan selama 3-5 minit.
  • Apabila sedar semula, seseorang itu mungkin mengalami kehilangan ingatan
  • Jangka masa yang pendek, sakit kepala dan mudah tersinggung dll.

INILAH 6 LANGKAH ANDA HARUS LAKUKAN 
Anak anda sering mengalami serangan sawan  di rumah? Tiba-tiba sahaja diam, hilang kesedaran, kaki tangan kejang, keras dan tersentak-sentak? Sekiranya anak anda diserang sawan, inilah 6 langkah anda HARUS lakukan. 
Langkah 1: Bertenang dan jangan panik.
Ini paling penting. Ramai orang takut apabila mereka melihat seseorang mengalami kekejangan atau serangan sawan. Anda perlu membantu anak anda dengan tenang dan pesan orang lain di sekeliling bahawa segala-galanya adalah terkawal. 
Langkah 2: Mencegah kecederaan.
Jauhkan anak anda dari sumber bahaya. 

1. Jangan alihkan anak anda.

2. Alihkan anak anda hanya jika di dalam keadaan bahaya contohnya di tengah jalan atau tempat tinggi
3. Jauhkan anak anda dari benda-benda merbahaya
4.Cuba letakkan sesuatu yang lembut seperti baju atau selimut yang dilipat di bawah kepalanya.
Semasa serangan sawan itu berlaku, apabila tubuhnya kaku, dia mungkin berhenti bernafas dan menjadi biru. Ini kerana darah lebih banyak dihantar untuk melindungi organ-organ pentingnya, seperti apa yang berlaku ketika anak melompat ke dalam air sejuk. 

Tempoh ini biasanya ringkas dan selalunya tidak memerlukan CPR. Dia akan mula bernafas sebaik sahaja ototnya berehat. Jangan menahannya atau cuba menghentikan gerakannya.

Langkah 3: Perhatikan tempoh masa serangan sawan atau kekejangan berlaku.
Seboleh-bolehnya, perhatikan anak anda semasa sawan (turutan peristiwa, pergerakan badan dan anggota, tempoh masa sawan)

Sekiranya ia berlangsung lebih daripada lima minit, hubungi ambulans atau mana-mana bantuan kecemasan. Perhatikan sifat, kriteria dan panjang serangan sawan supaya anda dapat memberikan laporan yang tepat.

Langkah 4: Pusingkan anak anda dalam kedudukan mengiring


Rawatan sawan

Jika anak anda mempunyai makanan di dalam mulutnya, jangan cuba mengambil makanan itu, kerana ini sebenarnya boleh menyebabkannya tertelan lebih jauh ke dalam.
Cuba iringkan perlahan-lahan tubuhnya ke bahagian sebelahnya atau iringkan kepala ke tepi supaya mana-mana cecair boleh keluar dari mulutnya. 

Selain itu, pastikan saluran pernafasannya stabil dan terkawal. Longgar dan tanggalkan apa-apa di sekeliling lehernya untuk memudahkan pernafasan. Buka butang atau tali pinggang yang ketat.


Langkah 5: Jadilah ibu bapa yang ‘supportive’.
Kanak-kanak biasanya sembuh dari serangan sawan dengan sendirinya. Jika anak anda sudah boleh memahami dan bersekolah, terangkan kepadanya apa yang berlaku, dan berapa lama serangan itu berlaku. Anak anda mungkin mahu ditenangkan. Bantu dia tahu di mana dia berada dan apa yang sedang berlaku. Dia mungkin boleh mengalami situasi seperti buang air kecil atau besar ketika serangan berlaku tanpa disedari. Bantu dia untuk membersihkan.


Langkah 6. Selepas serangan sawan.
Sekiranya anak anda mengadu sakit di bahagian kepala, sakit otot atau lidah, beberapa ubat boleh membantu. Sekiranya dia mengalami kesakitan yang teruk, atau jika dia cedera semasa serangan berlaku, bawa dia untuk berjumpa doktor. 

Sekiranya anak anda mempunyai demam yang berkaitan dengan serangan itu, rujuk doktor di klinik atau hospital. Dia mungkin mempunyai jangkitan yang perlu dirawat.
JANGAN LAKUKAN INI! 
1.  Jangan letakkan apa-apa di mulut anak anda.
Meletakkan jari, sudu, atau apa-apa objek lain di dalam mulutnya boleh menyebabkan anak anda tercekik atau patah gigi, dan boleh juga menyebabkan jari digigit. 
2.  Jauhkan diri dari orang ramai.
Hanya satu atau dua orang diperlukan untuk pertolongan cemas. Tak perlu terlalu ramai. Ini boleh mengganggu proses rawatan kecemasan.
3. Jangan berikan air, makanan atau pil sehingga serangan sawan selesai.
Ini akan mengelakkan daripada anak anda tercekik. Dalam sesetengah kes, doktor mungkin telah menetapkan ubat-ubatan yang perlu digunakan pada masa serangan sawan itu; gunakannya seperti yang diarahkan. Periksa sama ada dia telah sedar dengan bertanya beberapa soalan mudah sehingga anak anda kembali kepada keadaan biasa.

Tanda-tanda Sawan/Epilepsi
Jangan sisihkan mereka yang mempunyai Epilepsi/Sawan

Post a Comment