HTML

Thursday, January 7, 2016

Kisah Tun Mahathir Kena Serangan Jantung (Part 2)


tun mahathir pembedahan pintasan jantung dan heart attack

Diceritakan Oleh Tun M Sendiri 

Kisah disebalik kejadian Serangan Jantung yang diceritakan oleh mantan Perdana Menteri serta negarawan tersohor negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam buku  memoir Tun M ; Doktor Umum  (A Doctor In The House)....sambungan dari bahagian 1

Selepas pembedahan


Dalam proses pemulihan selepas pembedahan, buat seketika saya meracau dan mengalami bermacam-macam mimpi aneh, antaranya menjadi anak seorang Sultan dan bekerja sebagai jurulatih kuda. Kadang-kadang saya berasa seperti berada di tempat lain, misalnya Indonesia, Thailand dan China.

Saya bernafas dengan bantuan mesin pernafasan yang menghalang saya daripada menelan dan bercakap. Malah selepas tiub ditanggalkan daripada tenggorok saya, saya masih berasa seolah-olah ia berada di situ dan sukar menelan buat seketika.

Disebabkan saya tidak boleh bercakap maka saya cuba berkomunikasi dengan menulis, tetapi sukar mengingati huruf yang betul. Keluarga saya memberikan sebuah papan kekunci untuk membolehkan saya menunjukkan huruf-huruf yang saya mahu, tetapi itu pun sukar bagi saya.


Suatu ketika, 

Apabila kehampaan menguasai diri, saya cuba mencabut semua tiub yang ada pada badan saya. Hasmah marah dan mengingatkan saya betapa ramai orang telah bersusah payah bekerja keras menolong saya.

Saya terkena jangkitan selepas dua minggu berada di ICU. Doktor-doktor yang merawat saya tahu bahawa mereka terpaksa membedah saya semula, tetapi bimbang saya tidak bersetuju. Namun, saya memberikan persetujuan dengan harapan ia akan membantu saya segera pulih dan mengakhiri penderitaan untuk cuba tidur bersama-sama segala macam tiub di leher, tangan, belakang dan dada saya.


Kesan selepas pembedahan

Saya dibawa masuk semula ke dewan bedah pada 22 September. Walaupun pembedahan berjalan tanpa sebarang masalah, proses pemulihan sekali lagi sukar. Saya dilanda kemurungan dan berasa sangat tidak bermaya untuk meneruskan usaha pemulihan. Jadi, beberapa orang pelawat dibenarkan menemui saya untuk mengembalikan semangat saya. Mereka termasuklah rakan-rakan menunggang kuda; Mufti Perlis ketika itu, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan bekas doktor peribadi saya, Datuk Dr Zainal Hamid.

Hasmah turut membantu dengan membawa salah satu gambar saya yang paling diminatinya dan sambil menunjukkannya kepada saya, Hasmah berbisik yang beliau telah membawa lelaki itu ke hospital dan beliau akan membawanya pulang semula ke rumah.

Hasmah jarang meninggalkan saya sepanjang berada di hospital. Beliau pulang ke rumah semalam sahaja pada bulan puasa untuk bersama-sama keluarga dan selebihnya beliau bermalam di hospital. Suatu hari, beliau jatuh tertiarap dari kerusinya akibat terlalu penat. Ini menyebabkan keadaan di ICU menjadi kelam-kabut, tetapi Hasmah berkeras mengatakan yang beliau tidak apa-apa dan cuma kepenatan.


Habiskan masa 49 hari di IJN

Keseluruhannya saya menghabiskan masa 49 hari di IJN sebelum keluar pada 20 Oktober. Saya akui yang ada waktunya saya berasa seperti sudah di penghujung hayat. Malah, dari awal lagi saya sudah tahu apa yang menanti di hadapan. Jadi, pada hari saya dimasukkan ke IJN saya telah memberikan kepada Hasmah nombor kod beg bimbit yang mengandungi dokumen peribadi saya.

Pada suatu ketika, apabila nampak tanda-tanda yang keadaan saya tidak akan pulih, Hasmah terfikir juga untuk membuka beg tersebut. Bagaimanapun apabila beliau memberitahu Mirzan mengenainya, Mirzan berkata yang masanya belum tiba dan eloklah beg itu tidak diusik.

Selepas menjalani dua pembedahan terakhir itu, saya mula memperoleh semula sebahagian besar tenaga saya. Namun, saya tetap mudah penat dan masih kekurangan berat badan. Inilah sekali dalam hidup saya apabila berat badan saya sukar hendak dinaikkan walaupun di negara kita, setiap orang cuba memaksa orang lain makan sehingga tidak boleh bangun.



 A doctor in the house by pm

3 tahun selepas pembedahan

Sewaktu saya menulis buku ini, tiga tahun sudah berlalu sejak pembedahan kedua. Proses pemulihan lebih perlahan daripada pembedahan pertama, tetapi berlaku secara progresif dan saya sekarang sudah cergas sepenuhnya. Saya mula menunggang kuda semula dan menjadikannya kegiatan mingguan. Pada waktu pagi, saya melakukan senaman angkat berat dan juga berjalan kaki apabila cuaca mengizinkan. Kalau tidak, saya akan menggunakan treadmill sahaja.

Pada Februari 2009, saya ke Argentina dan menghabiskan 10 hari menunggang kuda di padang rumput pampas pada setiap pagi dan petang. Saya bekerja di tiga pejabat yang berlainan mulai jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang dan sering menghadiri majlis makan. Kebanyakan waktu hujung minggu saya dihabiskan di luar. Saya juga akan ke luar negara sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk memberi ceramah.


Menikmati kesihatan selepas pembedahan

Walaupun sudah dua kali menjalani pembedahan jantung, secara amnya saya menikmati kesihatan yang baik. Ramai orang bertanya berulang kali mengenai stamina saya dan bagaimana saya kelihatan lebih muda daripada usia sebenar. Saya menjawab secara berseloroh bahawa seseorang harus memilih ibu bapanya dengan berhati-hati.

Namun, soalan yang sama terus diajukan. Ramai percaya dan menyebarkan kepada orang lain yang kononnya saya menerima suntikan di Switzerland. Seorang wanita menegur saya di sebuah pasar raya dan bertanya adakah benar saya makan ubat berharga RM5,000 sehari. Ramai juga yang pergi ke farmasi di mana saya membeli vitamin dan mereka akan membeli apa sahaja yang saya beli.

Akhirnya, saya berjanji kepada mereka yang saya akan memberitahu segala-galanya di dalam memoir ini. Soalnya, apakah yang hendak saya beritahu? Orang akan kecewa kalau saya mula bercakap mengenai penjagaan kesihatan dan kebersihan diri. Mereka mahu sesuatu yang boleh menyelesaikan segala masalah serta-merta, tetapi malangnya tidak ada cara seperti itu. Bagaimanapun, ada perkara tertentu yang boleh membantu kita kelihatan lebih muda daripada usia sebenar.


Serangan Jantung yang diceritakan oleh Tun M
Tun Hasmah sentiasa disi Tun M


Rahsia Tun masih cergas

Menjalani kehidupan yang cergas adalah penting untuk semua peringkat usia, terutamanya dalam tempoh persaraan. Setakat yang terdaya, saya cuba mengekalkan rutin kerja. Saya bangun awal untuk solat Subuh. Selepas bersolat, saya bercukur, menggosok gigi dan mandi air suam. Sebelum sarapan, saya membuat beberapa minit pernafasan panjang dan senaman ringan.

Sarapan saya juga ringan sahaja dan kemudian saya memulakan hari dengan menulis. Saya berasa kehilangan kalau tidak menulis sesuatu pada awal pagi. Bagi saya, menulis membantu menggerakkan otak dan menajamkan ingatan. Saya jarang melakukan senaman berat, khususnya pada waktu pagi hari bekerja. Saya menggunakan treadmill sekali-sekala, saya tidak berjalan kaki sekerap yang saya inginkan dan saya tidak bermain golf.

Menunggang Kuda

Kegemaran saya adalah menunggang kuda yang saya pelajari ketika berusia 60 tahun. Ia bermula apabila saya dijemput oleh Allahyarham Presiden Pakistan, Muhammad Zia ul-Haq bagi menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan negaranya. Kami pergi ke tempat perarakan dengan kereta dan kemudian menaiki kereta kuda. Kami diiringi oleh pengawal berkuda Pathan yang berpakaian seragam tentera. Saya teruja dengan apa yang saya lihat dan mengambil keputusan untuk membeli dua ekor kuda dari Pakistan. Presiden Zia mendapat tahu hasrat saya lalu menghadiahkan dua ekor kuda itu kepada saya. Maka saya pun mulalah belajar menunggang kuda di Kelab Menunggang dan Polo Selangor.

Perkara pertama yang saya pelajari mengenai kegiatan menunggang kuda adalah duduk tegak dan lurus di atas pelana. Ini sangat penting. Ia bertujuan untuk mengelak kita daripada sakit belakang. Saya fikir, ia turut membantu saya berdiri tegak dan tidak membongkok walaupun usia saya sudah melepasi 80 tahun. Apabila kita bongkok, kita akan nampak tua.

Tidur cukup untuk menjaga kesihatan

Saya juga mempunyai tabiat berjalan seperti orang berkawat. Kebanyakan orang yang berusia 80 tahun umumnya akan berjalan lebih perlahan. Malah, ada yang terketar-ketar dan mengheret kaki. Orang yang lebih muda biasanya suka membantu orang tua bangun, berdiri, berjalan dan memanjat anak tangga. Kadangkala, orang tua pun suka dibantu. Mereka sukakan perhatian dan sikap prihatin anak cucu mereka. Kalau kita membenarkan diri kita dibantu, ia boleh menjadi tabiat. Selagi boleh dan terdaya, eloklah kita cuba mengelak daripada dibantu. Ini membuatkan kita nampak seperti orang muda. Lagipun, ia baik bagi otot dan imbangan kita.

Saya juga cuba tidur secukupnya iaitu enam jam pada waktu malam dan kalau boleh di atas katil yang sesuai. Selepas makan tengah hari, saya akan melelapkan mata selama 15 minit sambil duduk di atas kerusi yang selesa dengan menegakkan kepala. Saya membuat rutin yang sama apabila dalam perjalanan atau jika tidak ada apa-apa yang hendak dilakukan. Melelapkan mata sebentar sambil duduk amat penting. Jika kita berbaring, kita akan bangun dalam keadaan terhuyung-hayang dan tidak dapat bekerja.

Di samping kemampuan saya mencuri masa untuk melelapkan mata buat seketika, pengalaman saya sebagai seorang doktor turut membantu saya bekerja dalam tempoh waktu yang lama ketika menjadi Perdana Menteri. Selepas tidur sepanjang penerbangan, saya boleh terus bekerja. Lagipun apabila melawat negara asing, saya tidak ada masa untuk berehat. Sebaik sahaja turun kapal terbang, saya akan terus bertugas. Kalau nasib baik, bolehlah berehat sebentar sementara menunggu pagi.

Kita mesti bersenang hati 

Yang lebih penting, kita mesti bersenang hati kalau mahu kelihatan muda. Kegembiraan bercinta adalah yang paling nyata. Memanglah sukar untuk berasa gembira setiap masa, tetapi kalau kita bersyukur dengan apa yang kita nikmati setiap kali bangun pagi, kita akan berasa gembira. Memanglah ada masalah yang perlu diatasi dan kesedihan untuk dirasai, namun tentu ada sesuatu yang boleh membuatkan kita gembira. Bagi saya, sejak dulu dan lebih-lebih lagi sekarang, dapat bangun setiap pagi adalah anugerah paling besar.

"Jadi, saya tidak ada rumusan khas untuk kelihatan lebih muda daripada usia saya. Orang yang mengharapkan saya agar memberitahu mereka nama bahan awet muda (elixir) untuk kelihatan muda yang saya guna, akan berasa hampa kerana saya tidak ada ramuan itu. Hakikatnya, ia tidak wujud pun," Tun Mahathir



Sejarah 10 Mei 2018 -

Siapa sangka selepas 2 tahun menulis artikel ini, pada usia 93 tahun Tun Dr. Mahathir Mohamad secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh.


Tun Mahathir
10 Mei  2018- Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh


Tun Mahathir dan Tun Hasmah
Pasangan Kesayangan Rakyat Malaysia

Semoga Allah melanjutkan usia Tun dan isteri serta diberi kesihatan yang baik.





No comments: